____________________________
Percayalah, perkahwinan secara sembunyi adalah jalan penyelesaian sementara kepada pasangan yang akhirnya akan memberi 1001 keburukan untuk jangka panjang.
"Jadi, pasangan yang merancang untuk berkahwin sembunyi perlu berfikir secara bijak demi masa depan tanpa mengutamakan perasaan cinta semata-mata ketika membuat keputusan."
Itu reaksi tegas Kaunselor Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Sri Gading, Batu Pahat Johor, Nor Shadira Jamaluddin ketika diminta mengulas isu perkahwinan sembunyi yang dilihat semakin menjadi pilihan di kalangan pasangan bercinta yang gagal mendapatkan restu keluarga.
Nor Shadira berkata, dalam isu ini, pernikahan lazimnya dilakukan disebabkan banyak faktor dan membabitkan beberapa golongan.
"Daripada sejumlah kes yang saya kendalikan dan melalui paparan media, selain tidak mendapat restu keluarga, punca utama menyebabkan pasangan berkahwin secara sembunyi ialah kerana tidak cukup wang untuk menanggung kos perkahwinan dan keadaan ini biasanya membabitkan pasangan muda.
"Selain itu mahu berpoligami dan tidak melepasi syarat-syarat dikenakan oleh undang-undang dan tidak mahu diketahui oleh isteri pertama juga merupakan faktor utama menyebabkan mereka berkahwin secara sembunyi,'' ujarnya ketika dihubungi .
Namun, menurut Nor Shadira, pasangan yang mengambil keputusan untuk berkahwin secara sembunyi harus memikirkan kesan jangka panjang daripada pernikahan tersebut kepada kedua-dua belah pihak.
Tambahan pula, jika perkahwinan tersebut tanpa restu kedua orang tua.
"Perkahwinan sebegitu biasanya akan diduga dengan pelbagai masalah dan sukar untuk mencapai kebahagiaan khususnya dalam jangka masa panjang,'' ujarnya.
Kata beliau, bagi pasangan yang normal mereka mungkin akan bebas untuk ke mana-mana bersama. Tetapi bagi pasangan kahwin sembunyi mereka mungkin akan merasa takut untuk berdepan dengan khalayak ramai.
''Keadaan sedemikian akan memberikan tekanan kepada pasangan tersebut, walaupun pada awalnya mereka bersetuju untuk menyembunyikan status diri mereka yang sebenar,'' tambah Nor Shadira.
Bagaimanapun dalam situasi itu, wanita biasanya akan menghadapi permasalahan yang lebih kritikal termasuklah tekanan emosi yang serius.
Keadaan ini jika tidak diatasi akan memberikan tekanan yang mendalam termasuk hingga ke peringkat perceraian.
''Si isteri biasanya akan berasa rendah diri dan kurang ketahanan memandangkan hak mereka yang sebenar diabaikan
''Sebagai isteri pastinya mereka ingin dibelai dan dimanja oleh suami tetapi dalam situasi ini keadaan itu mungkin sukar untuk berlaku kerana suami tidak boleh dengan sewenang-wenangnya untuk pulang ke rumah isteri,'' katanya lagi yang merujuk kepada kes yang berpoligami.
Keadaan itu, tegasnya sekali lagi memberikan tekanan kepada pasangan tersebut iaitu kepada isteri muda.
Bagaimanapun tambah beliau, keadaan semakin kritikal sekiranya wanita terbabit mengandung .
''Walaupun anak itu adalah sah dari sudut hukum tetapi akan mengalami kesukaran untuk membuat sijil kelahiran memandangkan ia tidak mempunyai sijil pernikahan.
"Malah keadaan ini juga menyebabkan si isteri akan terfikir sampai bila harus di sembunyi tentang statusnya walaupun dirinya merupakan isteri yang sah.
''Inilah bahaya kepada pasangan, biarpun pada awalnya pasangan ini sanggup hidup dalam berlakon namun sampai bila harus terus berkeadaan tersebut,'' katan Nor Shadira.
Keadaan ini seterusnya akan menimbulkan tekanan sehingga boleh menjadi trauma kepada wanita itu sendiri.
Sambil berkongsi pengalaman daripada kes yang dikendalikan, ada yang sanggup membunuh diri hanya semata-mata kerana malu untuk meneruskan perhubungan.
''Untuk kembali kepada keluarga mungkin malu jadi jalan penyelesaian yang terbaik baginya adalah membunuh diri,'' katanya sambil berkongsi pengalaman.
Bagaimanapun tegas beliau, masalah ini juga jika tidak selesaikan secara baik akan memberikan kesan negatif termasuklah sakit mental dan juga bunuh diri ekoran tekanan yang terlalu berat untuk di pikul oleh wanita tersebut.
Katanya lagi, keadaan ini semakin kritikal sekiranya suami tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.
''Dalam situasi ini, wanita yang akan teraniaya dan menjadi mangsa kerana pada ketika itu keluarga mungkin sukar untuk menerimanya kembali dan suaminya pula tidak mahu bertanggungjawab.
''Keadaan ini sekali gus memberikan tekanan yang maksimum kepada wanita dan sekiranya tidak diawasi mungkin akan berlaku kemudaratan kepada anak dan si ibu tersebut," kata Nor Shadira.
Beliau menyarankan supaya wanita atau lelaki yang berhasrat untuk berkahwin sembunyi harus memikir kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut.
0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):
Post a Comment