:: Mereka2 Yang CooL !!::

Friday, February 18, 2011

Kasih Ibu Membawa Kesyurga


Imbau semula ingatan kita pada zaman kanak-kanak dahulu. Masihkah kita ingat lagi ketika merajuk, ibu datang memujuk, apabila terjatuh ketika bermain ibu berkejar mendapatkan kita dan apabila menerima berita gembira ibu orang pertama kita beritahu.

Pendek kata, semua kemahuan kita ibu tidak pernah hampakan. Namun, hati mana tidak tersentuh apabila menyaksikan terdapat banyak kes penderhakaan terhadap ibu.

Ada sanggup melawan dan menengking ibu, lari dari rumah kerana bosan mendengar nasihat ibu, membiarkan ibu berseorangan, tidak bertanya khabar ibu di kampung malah ada sanggup memukul ibu hanya kerana perselisihan kecil.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami wasiatkan kepada manusia, terhadap ibu bapanya. Ibunya mengandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan dan menceraikannya daripada susuan dalam dua tahun (iaitu): Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Kepada-Ku tempat kembali." (Surah al-Lukman ayat 14). Hanya Allah mampu membalas bakti dan jasa ibu kepada anaknya. Ibu tidak pernah mengeluh atau kecewa apabila ditimpa kesusahan demi anak tersayang.

Justeru, kita dilarang menderhaka kepada ibu, mengecilkan hati, melawan atau mengherdik.

Menderhaka kepada ibu bapa adalah satu dosa besar dan anak tidak akan mencium bau syurga meskipun mereka melakukan amal ibadat lain.

Sejak dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga selepas kita dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang. Ketika kita sakit atau demam, ibu baring di sebelah kita untuk memastikan kita selesa.

Bukan menidakkan peranan ayah, namun ibu adalah segala-galanya. Yang sedihnya, selepas dewasa dan berdikari, kita tergamak melukakan hati ibu.

Justeru, jika anda masih mempunyai ibu, gunakan kesempatan ini untuk membelai, menjaga dan menziarahi di kampung kerana ia adalah amalan mulia.

Sepatutnya, anak tiada alasan tidak menziarahi atau menghubungi ibu apatah lagi dengan kemodenan teknologi maklumat.

Terdapat kisah pada zaman nabi apabila ada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda kemudian menyampaikan hasratnya menyertai baginda berjihad.
Baginda menjawab bukan seperti, "Adakah kamu handal dalam menunggang kuda?", "Adakah kamu bijak bermain pedang", "Adakah kamu mempunyai tubuh badan yang kuat dan sihat?"

Tetapi baginda bertanya kepada lelaki berkenaan "Adakah kamu masih mempunyai ibu dan bapa?" Kemudian lelaki itu menjawab: "Saya sudah tiada bapa, tetapi masih mempunyai seorang ibu di rumah"

Baginda berkata "Adakah ibumu tidak memerlukanmu untuk menjaganya? Lelaki berkenaan menjawab: "Semestinya dia memerlukan saya".

Baginda menasihatinya: "Pulanglah kamu ke pangkuan ibu kamu kerana sekiranya kamu berbakti kepadanya, sesungguhnya pahala yang kamu akan terima adalah sama seperti pahala jihad fisabilillah".

Jangan pula apabila sudah berkeluarga atau tiada dalam tanggungan keluarga kita semakin menyisihkan ibu.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata martabat ibu kedua tertinggi selepas mentaati Allah.

Perkara ini berdasarkan 'tartibul kalimat' iaitu susunan keutamaan seperti ditegaskan Allah menerusi beberapa firman-Nya sebagai contoh dalam Surah al-Israa' ayat 23 yang bermaksud: "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Antara ibu dan bapa pastilah ibu memiliki martabat tertinggi jika merujuk kepada Sahih Muslim, Abu Hurairah meriwayatkan pernah Muawiyah bin Haidah al-Qusairi bertanya kepada Rasulullah siapakah yang wajib ditaati? Jawab Rasulullah: "Ibumu." Tiga kali Nabi ditanya dan itulah juga jawapan yang sama diberikan. Yang terakhir barulah baginda menyatakan: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat."

"Bahkan ulama menyatakan, ada tiga jenis perintah Allah yang berangkai dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain iaitu yang pertamanya mendirikan solat dan mengeluarkan zakat; kedua, taat kepada Allah dan taat kepada Rasulullah dan ketiganya bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada ibu bapa.

"Ketiga-tiga perintah ini mesti serangkai dan Allah tidak akan menerima yang satu tanpa gandingannya," katanya.

Beliau berkata ibu mendapat martabat yang tinggi adalah kerana peranan terbesar mereka mengandungkan kita dan ia tidak mampu dipikul mana-mana lelaki.


Sambutan Hari Ibu belum cukup untuk membalas jasa ibu selama ini.

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah berkenaan seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat.

Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

"Namun, usaha adik-beradik untuk sama-sama meluangkan masa balik kampung dan berkumpul kemudian mengadakan majlis makan bersama meraikan ibu tercinta boleh menjadi permulaan kepada satu usaha yang baik.

"Kegembiraan ibu melihat anak pulang berkumpul itu saja sudah menjadi satu ibadah," katanya.

Badli Shah berkata menjadi dosa besar kepada anak yang menderhaka terhadap ibu bapa.

"Dalam al-Adab al-Mufrad ada mencatatkan sembilan jenis dosa besar yang dimurkai Allah dan antaranya menghina ibu bapa dan (menyebabkan) ibu bapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).

"Allah mewajibkan anak memuliakan serta menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada ibu bapa," katanya.

Selain itu, beliau berkata dalam sebuah lagi hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)."

"Justeru, berbaktilah kepada mereka sementara mereka masih hidup. Jangan apabila mereka sudah meninggal dunia, barulah kita mahu membina batu nisan terbaik atau mencetak surah Yasin khas untuk tahlil ke atas mereka," katanya.



**sumber::http://blogtokwan.blogspot.com/

BACA JE? MEH LA KOMEN-MENGOMEN!

0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...