:: Mereka2 Yang CooL !!::

Wednesday, August 10, 2011

A story to remember: Kisah Benar :IQBAL FAHREEN HAMDAN


_______________________________

Sedihkan tgk gambar ni?
Pagi td aku dapat email dr budak opis aku...
Sedih baca kisah ni..
so,aku pun Men"Google" lah pulak...nk cari cerita2 ni...
bila tgk gmbar ni,hati jadi sayu semacam.
sedih. nk menangis..
tetibe teringat anak2 buah aku yg kecik2...
Ya ALLAH,lindungi lah anak2 buah aku semua.....
Kalo aku ada anak, hati aku kuat tak nk menghadapi semua ni?
_________________________________


UCAPAN TERIMA KASIH BUAT SEMUA ‘PEMINAT IQBAL FAHREEN HAMDAN”

Pagi tadi saya dapat sms dari emak Iqbal. Beliau terasa sungguh sunyi selepas 10 hari Iqbal pergi.. Tak tahu apa yang patut saya katakan.. hanya kata semangat untuk beliau. Hanya Allah saja yang tahu berat yang ditanggung oleh Kak Jamilah. Minggu lepas, Kak Jamilah, mohon untuk berkongsi kisah anak istimewanya dengan semua.. Saya akan post karangan Kak Jamilah dalam blog dan FB saya untuk bacaan semua. Tujuan nya satu, untuk berkongsi kisah suka duka menjaga dan memelihara anak seistimewa Iqbal agar andai ada ibu-ibu yang senasib dengannya membaca, sekurang-kurangnya terubat hati apabila mengetahui segala suka duka ini boleh dikongsi bersama...

"Sudah lama rasanya saya tidak memegang keyboard computer saya. Mungkin dalam tiga bulan ini. Agak janggal rasanya apabila cuba menulis terutama dalam situasi yang begitu sebak dan air mata yang tak putus-putus mengalir hingga membuatkan pandangan saya sedikit kelabu….
Hari ini Khamis, 14 April 2011 genap lima hari anak kesayangan saya, iqbal fahreen meninggalkan saya sekeluarga. Sambil menulis ini, pandangan mata saya terarah pada ruang tamu, tempat di mana Iqbal selalu terbaring. Di hadapan televisyen sambil melihat cerita-cerita kartun kegemarannya. Tipulah kalau saya mengatakan hidup saya tak sunyi sejak kehilangannya….
Baiklah saya memperkenalkan diri kepada anda semua. Nama saya Jamilah Haji Bujang, usia saya 40 tahun genap pada 23 April ini. Saya hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Mempunyai empat orang anak, Izzatul Farhanah 15, Izzatul Firashah 10, Izzatul Fasihah 7 dan yang bongsu Iqbal Fahreen yang baru saja pergi menyahut panggilan ALLAH.
Malam tadi, adik angkat saya Almaswa Che Ros, yang merupakan senior reporter di MAjalah MIngguan Wanita membawakan saya lap topnya yang mana dia telah menyimpan cerita yang Asnida tulis mengenai Iqbal bersama gambar-gambar anak kesayangannya itu dua hari sebelum dia meninggal. ALLAHUAKBAR!!! Luluh jantung saya melihatnya..dan bertambah pilu apabila mengetahui betapa semua rakan-rakan di luar sana yang cuba untuk merealisasikan permintaan anak saya yang mahukan kek berbentuk lori pada hari jadinya yang lalu….
Terima kasih banyak-banyak kepada Kak su dari mantin yang menghantar kek pada KHamis lalu…begitu juga dengan Lin yang memberikan kek berbentuk lori bomba. Iqbal sangat sukakannya hingga dia melarang kami memotong kek itu….
Anak saya ini sebenarnya anak yang sangat istimewa. Inilah anugerah terbesar yang Allah berikan kepada saya sebagai seorang ibu. Sebenarnya, saya pernah kehilangan seorang lagi anak lelaki pada tahun 1999, juga akibat kematian mengejut di PPUM.
Ketika mengandungkan Iqbal, saya kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Hajjah ESah Hj Shamduddin pada tanggal 16 Jun 2006. SEratus hari selepas itu, saya kehilangan satu-satunya adik lelaki saya, Abdul Halim bin Bujang. Adik ini sangat rapat dengan saya. Kami sering berkongsi masalah namun pemergiannya pada 29 Ramadhan itu benar-benar menghancurkan perasaan saya sebagai saudara kandungnya. Pertama kali, saya sekeluarga hanya menikmati air the o dan minum goreng di pagi raya….
Namun, hati saya ceria kembali apabila saya menerima khabar bahawa saya bakal mendapat anak lelaki (saya dah ada 3 anak perempuan). Iqbal dilahirkan tepat pada 26 Februari 2007. apa yang istimewanya ialah dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan arwah abangnya, Muhammad Faris.
Saya cuba menolak agar Iqbal tidak dilahirkan pada tarikh ini kerana saya amat trauma dengan takdir sedih yang pernah menimpa dahulu. Namun rancangan ALLAH adalah yang terbaik. ALLAH menganugerahkan seorang anak lelaki kepada saya setelah lapan tahun saya kehilangan FAris.
Saya namakan dia Iqbal kerana dua perkara. Pertama, saya suka betul dengan seorang doctor berbangsa Arab yang bertugas di PUSRAWI. Namanya Dr. Iqbal. Dia selalu merawat arwah ibu saya. Orangnya tampan dan sangat berhemah. Kedua, saya amat mengemari karya seorang pengarang terkenal dari Pakistan. Namanya juga Iqbal!
Fahreen pula anak kedua saya yang kami panggil Kak Lang yang berikan. Dia peminat cerita melayu nombor satu. Dan amat meminati Fahrin Ahmad. Bergaduh-gaduh saya dengannya tentang nama ini. Namun akhirnya saya mengalah tetapi dengan syarat, ejaannya diubah sedikit. Dia bersetuju dan akhirnya bayi istimewa ini kami namakan Iqbal Fahreen.
Iqbal, anak yang tidak banyak karenah. Menjelang usianya dua minggu, saya mengesan sesuatu yang tidak kena pada anak ini. Dia tidak menghisap susu dengan baik. berat badannya semakin susut. Saya bawa dia ke PPUM untuk diperiksa dan keputusannya, anak saya disahkan menghidap sakit jantung, Truncus Arterioses Type 2.
Daripada saat 13 Mac 2007 saya belajar tentang kesabaran, saya isi rohani dan jasmani saya dengan kekuatan dan saya juga mula berkampung di hospital. PPUM dan IJN bagaikan hotel yang akan saya check in setiap tiga atau lima bulan sekali. Iqbal tidak pernah menyusahkan saya dan suami. Anak-anak yang lain juga sudah boleh menerima kenyataan bahawa mereka tidak boleh mengharapkan perhatian lebih dari saya atau ayahnya. Semua tumpuan sekurang-kurangnya 95 peratus tertumpah pada iqbal…




maafkan saya. Saya terpaksa berhenti di sini dahulu. Saya ada tetamu yang datang menziarahi. Panggilan telefon dari editor saya, Kak Sharah Ibrahim, Pengurus Besar Bahagian Marketing Alaf 21 juga membuatkan saya agak sebak. Buku saya bersama BUKU PRIMA Insyaallah akan berada di pasaran pada 22 April ini sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Saya akan menulis lagi tentang Iqbal Fahreen dan akan dimuatkan di blog dan FB Asnida. Doakan saya sihat. Petang ini juga saya akan menziarahi kubur Iqbal. Rasa rindu padanya agak memuncak pagi ini. Moga kita bertemu lagi!-------"
____________________________________

Jantung Iqbal pernah terhenti[sumber: Utusan 2007]



MEMANDANGNYA dari hujung rambut ke hujung kaki cukup untuk sesiapa saja menelah penderitaan yang ditanggung bayi kecil ini. Wayar berukuran kira-kira 30 sentimeter panjang kelihatan bersambung dari hidung ke perut yang sekali sekala turun naik dengan begitu cepat.

Melalui wayar itulah bayi berusia tujuh bulan ini, Iqbal Fahreen Hamdan, minum susu bagi meneruskan hayatnya.

Tidak cukup dengan itu terdapat beberapa parut pada bahagian dada kesan pembedahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Sebagaimana tabahnya bayi ini melawan sakit, begitu juga kuat ibunya, Jamilah Harun, 36, menerima takdir yang tersurat.

Sepanjang pertemuan, suri rumah yang juga ibu kepada empat orang anak ini berusaha mempamerkan senyuman, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku kepada bayi kesayangannya.

“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak yang dikandung sembilan bulan disahkan menghidap penyakit yang berbahaya. Bagaimanapun, sebagai hamba-Nya yang lemah saya menerima semua ini sebagai ujian Allah.

“Sebagai ibu saya sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan Iqbal dapat menjalani kehidupan sempurna seperti kanak-kanak lain,’’ ujar Jamilah sambil memangku anak bongsunya itu yang menderita masalah jantung.

Menurutnya lagi, bukan bermaksud untuk meraih simpati orang lain atas apa yang menimpa Iqbal, sebaliknya beliau hanya ingin berkongsi pengalaman dengan ibu bapa lain terutama pasangan muda yang baru memiliki cahaya mata.

Katanya, menjadi ibu bapa tidak hanya memastikan makan pakai dan pelajaran anak-anak terjamin, tetapi juga perlu sentiasa prihatin terhadap tahap kesihatan mereka.

“Mungkin kerana terlalu sibuk kita sering terlepas pandang tentang kelainan yang berlaku pada anak. Jika mereka mengadu sakit perut atau pening kepala kita mudah menganggap si anak sengaja mereka-reka cerita,’’ ujarnya.

Merujuk kepada pengalaman sendiri semasa mula-mula penyakit Iqbal dikesan, Jamilah berkata, pada awalnya dia tidak menyangka kelainan yang terdapat pada bayinya itu sebagai petanda kepada satu penyakit yang berbahaya.

Ketika Iqbal berusia 13 hari, Jamilah mendapati warna najis bayinya itu agak kehijau-hijauan, tambah membimbangkan apabila melihat cara bayi itu bernafas tidak seperti bayi lain.

Mengesyaki ada yang tidak kena pada bayinya itu, Jamilah dan suami, Hamdan Mohd. Yusuf, 39, mengambil keputusan membawa Iqbal ke hospital berhampiran.

Hanya selepas menjalani beberapa ujian, barulah bayinya disahkan mengalami masalah jantung dan mereka dinasihatkan agar merujuk Iqbal ke Institut Jantung Negara (IJN).

Penderitaan bayi kecil tidak berdosa itu tidak berakhir begitu sahaja kerana setelah pemeriksaan dilakukan, terdapat beberapa komplikasi lain berkaitan jantung termasuk kehadiran dua lubang berhampiran jantung dengan setiap satu bersaiz 1 dan 0.01 sentimeter, selain injap jantung yang tidak berfungsi dengan baik.

Paling menyedihkan apabila doktor membayangkan bayinya hanya mempunyai peluang 50 peratus sahaja untuk selamat.

Pada 27 April lalu Iqbal akhirnya menjalani pembedahan pertamanya selepas hampir satu bulan menanti giliran.

Berkongsi detik cemas kata Jamilah, hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika itu apabila diberitahu jantung Iqbal tiba-tiba terhenti selepas beberapa jam proses menutup semula bahagian dibedah dilakukan.

Ketika itu beliau hanya bersendirian di hospital kerana suaminya ada tugasan yang perlu diselesaikan segera.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu. Namun saya kuatkan semangat dan berdoa agar nyawa Iqbal dipanjangkan. Alhamdulih berkat doa dan bantuan pihak IJN, kami masih dapat menatap wajah Iqbal hari ini,’’ ujarnya yang mengakui kejadian cemas itu mengembalikan ingatannya kepada peristiwa pahit lapan tahun lalu apabila seorang lagi anak lelakinya meninggal dunia secara mengejut.

Apatah lagi kehilangan bayi lelakinya itu sama tarikh dengan kelahiran Iqbal iaitu pada 26 Februari.

Sambil mengakui masih mempunyai bil yang tertunggak sepanjang Iqbal mendapat rawatan di Pusat perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan IJN, namun sebagai ibu bapa mereka tetap berusaha sedaya untuk melunaskannya seberapa segera yang mungkin.

Menurutnya, dengan pekerjaan suami sebagai mekanik tidak memungkinkan mereka menyelesaikan secara tunai dalam waktu singkat.

“Alhamdulilah, rezeki anak-anak. Selain mengharapkan pendapatan suami, wang simpanan saya sebagai penulis buku kanak-kanak sebelum ini dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung,’’ ujarnya yang bersedia untuk berkorban apa sahaja demi kesejahteraan anak-anak.

Sebagai ibu kepada seorang pesakit jantung, Jamilah sempat menasihatkan ibu bapa senasib lain agar tidak melihat kewangan sebagai masalah kerana apa yang lebih penting mendapatkan rawatan terlebih dahulu .

Ditanya tentang harapan terhadap masa depan Iqbal, tanpa berselindung Jamilah mengakui jauh di sudut hati mahu melihat anak bongsunya itu dapat melalui kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

_____________________________

Iqbal Fahreen - Pemergian yang diingati
Selepas memenuhi impian Iqbal, apa yang saya takuti berlaku juga. Ada saya suarakan pada suami, saya berdebar2 setiap kali ada sms masuk, saya gementar untuk menerima berita tentang Iqbal.. tetapi, pukul 3.50 ptg Sabtu 9 April 2011, saya terima juga kenyataan Iqbal telah pergi buat selamanya. Kak Dura menghantar sms itu. Ketika itu saya sedang bersiap untuk balik ke Seremban. Berderai air mata saya. Saya menangis bagai anak kecil kehilangan ibu. Seolah2 saya kehilangan sauda terdekat. Ketika memaklumkan berita itu di FB, dan bertolak ke Seremban, air mata saya masih lagi mengalir. Fikiran saya masih terpahat wajah Iqbal. Saya hairan.. Iqbal Fahreen, bukannya saudara terdekat saya, bukan siapa2 untuk saya. Kami berkenalan baru beberapa hari, bertemu pun sekali. Tapi pemergiannya sangat memberi kesan pada saya. Mungkin kerana singkatnya perkenalan itu membuatkan hubungan saya dengannya amat istimewa..Mungkin kerana, pandangan pertamanya telah membuahkan rasa kasih sayang yang dalam dan mungkin kerana kucupan pertama dan terakhir di pipinya membuatkan saya juga terasa seperti sedarah dengannya..

Kata Kak Dura, Iqbal pergi dengan tenang dihadapannya. Pemergiannya memang telah dijangka, cuma sebagai seorang ibu, saya mungkin pernah berharap keajaiban berlaku. Berdoa agar Iqbal mampu pulih kembali dan menjalani kehidupan seperti kanak2 lain. Tetapi saya tahu, Allah lebih mengetahui dan lebih menyayanginya. Syurga, tempat terbaik untuk Iqbal. Semoga Allah mencucur rahmat buat adik Iqbal Fahreen.. nama ini bakal melekat difikiran saya. Kisah ini akan terus menjadi ingatan.. akan menjadi cerita terbaik buat anak2 saya. Membuatkan saya lebih bersyukur dengan apa yang saya ada....

_________________________________

Iqbal Fahreen - A story to remember
Saya baru balik dari IJN. Rezeki saya bertemu dengan Iqbal Fahreen. Walaupun pada awalnya berat hati nak ke sana, bukan apa, saya takut kalau-kalau saya tidak mampu mengawal diri sendiri, tak mampu nak menahan perasaan..

Semalam, permintaan Iqbal berjaya dipenuhi oleh insan2 yang sangat berhati mulia. Alhamdulillah kek yang dijanjikan siap dan terus dihantar oleh pembuatnya dari Mantin, Negeri Sembilan tanpa sebarang bayaran. Semoga Allah saja yang membalas jasa En Hamzah, Kak Suhaida, Puan Ana dan En Abdul Rahman. Walau saya sekadar penyampai maklumat, tetapi saya sendiri tumpang gembira bila impian Iqbal tercapai.

Hari ni.. awal pagi saya menerima sms dari Lin, kawan saya di Setia Alam yang mintak tolong untuk saya hantarkan sebiji lagi kek berbentuk truck yang dibuat oleh jirannya. Ohh.. ramai yang berhati mulia di dunia ini.. Alhamdulillah, kek itu juga telah selamat sampai di IJN. Saya menguatkan hati untuk melangkah ke sana bersama Aszra. Hati saya berdebar2.. Tapi saya kuatkan juga. Bertemu juga saya dengan Iqbal, anak kecil yang bukan siapa2 pada saya, tetapi namanya sangat terkesan di hati saya.. Kalau semalam saya tengok gambarnya masih mampu untuk duduk untuk potong kek, tapi hari ni, Iqbal nampak lebih lemah. Dia hanya baring mengiring di atas katil melihat kek yang saya bawa. Nampak keletihan diwajahnya.. Berbual dengan ibu Iqbal, membuat kan saya kagum. Betapa tabahnya hati seorang ibu.. Beliau bercerita tentang Iqbal dengan tenang je.. Tak ada pun riak wajahnya bersedih atau meminta simpati. Tapi jauh dilubuk hatinya tiada siapa yang tahu.. Katanya, dia redha dan tahu Iqbal akan pergi meninggalkannya tidak berapa lama saja lagi. Walaupun begitu, dia puas.. kerana selama 4 tahun menjaga Iqbal, dia telah memberi yang terbaik utk satu2nya anak lelaki yang dimiliki. Banyak dah diusahakan.. tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Iqbal. Kata-katanya yang sangat terkesan pada saya.. "Allah menguji saya kerana nak beri saya pahala yang banyak.. Allah beri saya anak lelaki untuk tunggu saya kat syurga". Jatuh air mata saya disitu juga..

Hampir setengah jam saya disitu.. saya dapat rasa kekuatan seorang anak dan ibu. Iqbal memang anak yang kuat semangat... mungkin kerana ibunya juga seorang yang tabah.. Sama-sama lah kita berdoa yang terbaik buat Iqbal, andai kehidupan akan memberikan kebahagiaan untuknya, berdoalah kita agar dipanjangkan umurnya.. andai pemergianya dapat melenyapkan segala kesakitan dan kepayahannya... berdoalah kita agar dia pergi dengan tenang dan mudah... Allah telah punya rancangan buat Iqbal.. namun, tiada yang mustahil dengan Kuasa NYA. Subhnallah!

_____________________________

Permintaan Terakhir

Anak2 semua dah tidur. Sama jugak lah dengan ayahnya. Saya je yang masih tak boleh nak lelapkan mata dan fikiran saya asyik teringatkan seseorang. Walaupun tidak pernah berjumpa, malah saya hanya kenal namanya dua jam yang lepas. Iqbal Fahreen.. namanya bermain di benak saya.

Pukul 9 lebih tadi, saya dapat call dari kakak ipar saya, Dr. Adura. Dia tanya kalau saya ada kenal mana2 bakers yang sanggup buat cake berbentuk lori utk esok. Memang agak beratlah.. kek2 sebegini biasanya ambik masa utk dibuat. Saya pelik jugak, apasal lak kak dura ni nak kek cepat2 ni.. mesti nak surprise utk saper2 ni.. Then dia citer the truth dan the sad story. Kak Dura rupanya tengah usaha dan cari kek berbentuk lori demi nak memenuhi permintaan terakhir dia kat IJN. Iqbal Fahreen, 4 tahun.. he's dying becoz of heart problem. The mother dah order cake tu tapi hanya akan siap on saturday. But, kak dura kata, they dont think Iqbal akan bertahan sehingga sabtu.. ya Allah, Terkejut saya mendengarnya... malam ni tadi kak dura dah round semua kedai kek area KL. Memang tak ada sebab kek2 mcm tu memang kena request. Saya terus post kat FB saya.. alhamdulillah respon sangat baik.. finally, kak Suhaida, ofismate saya bagitahu ada org yang willing nak buat... diorg akan hantar ke IJN esok pagi. Harap2 mereka ni berjaya lah hantar kek tu ke sana dan bagi pada Iqbal. Semoga Iqbal dapat bertahan hingga esokk....


Saya tak dapat bayangkan mcm mana lah perasaan ibu Iqbal. Knowing anak nya akan meninggalkannya dalam sehari dua ni atau mungkin esok.. Mcm mana dia menghadapinya... semoga ibu Iqbal tabah menghadapi ujian Allah ni.. Menitik air mata saya malam ni.. tengok anak2 yang tengah tido ni lagi lah buat saya sayu sangat.. tak dapat bayangkan kalau ianya terjadi pada saya... Ya Allah, berikanlah kekuatan pada adik Iqbal Fahreen dalam menempuh hari-hari terakhirnya dan semoga semua impian dan permintaannya termakbul...

kek "loRi sampah"____________________________

Hargai & sayangi org2 disekeliling kita sementara mereka masih bernyawa.....


Kisah Benar : "Abang,tunggu mak di syurga ya"
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?

Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.

Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.

Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.

Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.

Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!

Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,

Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.

Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.

Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.

Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.

Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.

Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"

Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.

Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.

13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.

Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.

Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"

Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.

Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"

Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"

Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"

Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.

Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.

Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.

Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!

Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!

Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.

Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"

Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.


5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"

Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.

Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.

Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.

Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.

Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.

Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.

Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.

"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.

Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"

Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.

Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.

Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.

"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."

Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!

Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"

Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"

Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"

Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.

Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?

Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.

Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.

Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.

Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.

Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.

Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang ta[i... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).




nota kaki: menangis.Sedih. teringat arwah anees athiefah...anak sdare aku..[ anak kakak aku yg no 5] meninggal ms umur 4 bulan......cikJan rindu adik anees,.....] buat makarwah IQbal,tabahkan hati...ALLAH sayangkan arwah. arwah sgt istimewa...Kalo aku jadi mak dia,aku x sekuat tu kot......



BACA JE? MEH LA KOMEN-MENGOMEN!

14 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):

una ped0ra said...

wlaupun sy xpenah kenal dgn family tp hati rasa tersentuh sgt , tiap hari rsa nk tengok muka iqbal ..

Anonymous said...

teringatkan kepulangan arwah mak ke rahmatullah pd 8ramadhan yg lepas. setelah 10 hari kami berjaga disampingnya sambil mendoakannya, akhirnya dia pergi tanpa kehadiran kami di sisinya. hanya doktor dan nurse yg menemaninya. mungkin seperti yg di dinyatakan oleh ibu iqbal, dia akan berat hati bila keluarga seakan tidak merelakan kepergiannya. mungkin arwah mak mmg tidak mahu kami berada disisinya ketika dia dijemput kerana anak2 dan ayah pasti akan menangis dan meratapi apabila melihatkan keadaannya. hingga kini masih terbayang wajah arwah mak... takziah buat keluarga iqbal..

arman mohammad said...

Ya Allah..tempatkan roh IQBAL FAHREEN HAMDAN disisi umat yang Kau kasihi dan redhai... Ketekunan dan kesabaran kisah ini mengingatkan saya kepada insan-insan tersayang disekeliling yang masih ada untuk dihargai dan dikasihi sebaiknya..dengan izin-Nya....Kepada Pn.Jamilah..InsyaAllah..semoga doa dan bisikan mu dikabulkan oleh-Nya...(Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!") Amin....

Allahuakbar..Allahuakbar...Allahuakbar....

Ozai Amir said...

x tahu nk kata apa dah.. sy pon biasa melaluinya juga... adik saya telah meninggal dunia.. :) umurnya baru 6 tahun waktu 2... sedih jugak la bila hilang org yg kita syg... :(...

nazem pendy said...

dpt ni dr mana? from mak dia or email org hantar?
mak die ada blog? bole kasi link?

PelikBinAjaib said...

Lepas baca kisah adik Iqbal Fahreen Hamdan nie, rasa sayu melihat ketabahan keluarga Arwah terutamanya Ibu kepada adik Iqbal Fahreen Hamdan. Takziah buat keluarganya..

valerie said...

tghari tadi baca kat fb kawn, btul2 hati sy tersentuh.. semoga keluarga arwah tabah dgn dugaan ini. takziah utk keluarga pn. Jamilah.

MARJAN IBRAHIM said...

salam...sori lambat reply....
kebanyakan info sy dapat dr email & blog adik ipar kpd doktor yg rawat arwah Iqbal... & blog2 dr org ramai.....
maaf,sy lupa nk letak link kat post ni...

Anonymous said...

sayu bile bace kisah adik iqbal n kluarga.untuk pn.jamilah dan kluarga tabahkn diri mnempuh segala dugaan dan kesedihan yg duji oleh ALLAH TAALA.kerana ALLAH hanya mahu mnguji umat umatNYA dan kesabaran yg ada pada diri.takziah diucapkn kepada kluarga adik IQBAL FAHREEN(abang).ALLAH MMG MENYAYANGI ARWAH ABANG.ALLAHHUAKBAR.

Nur said...

Mohon share yer...thx

zahra leyna said...

Allahu Akbar! sgt menyentuh hati...betapa besarnya dugaan yg diterima. Takziah buat keluarga arwah Iqbal Fahreen.
Mohon share...

zahra leyna said...

Allahu Akbar! sgt menyentuh hati...betapa besarnya dugaan yg diterima. Takziah buat keluarga arwah Iqbal Fahreen.
Mohon share...

ALPHALIPID SDII said...

walaupn xknal,terasa rindu pada adik iqbal.tentunya adik iqbal sedang berbhagia disyurga.

YuYu Mt Isa said...

Saya menangis, dan teringatkan seseorang .. walaupun insan itu masih hidup didunia ini. Ya Allah, kau peliharah dia. Aku juga halalkan semuanya utk dia..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...