Jawapan:
Sesungguhnya kebahagiaan rumah tangga, lahirnya anak yang baik, soleh dan cerdik, serta kekalnya kehidupan rumah tangga adalah terletak kepada pemilihan suami isteri yang baik. Pemilihan ini mestilah dilakukan dengan penuh rasa sedar, tidak dipengaruhi oleh perasaan yang bergolak atau keinginan untuk memperoleh maslahat tertentu yang bersifat sementara. Pemilihan itu mestilah berasaskan dasar yang kukuh sebagaimana yang telah diatur oleh agama yang suci ini.
Akad nikah memberikan kesan yang besar, kekal untuk satu tempoh masa yang panjang serta dipenuhi dengan tanggungjawab. Oleh itu, calon suami isteri mestilah mengambil langkah-langkah yang perlu sebelum akad dijalankan. Hal ini kerana, kebanyakan calon suami isteri sering tersilap langkah dalam menentukan masa depan rumah tangga. Oleh yang demikian, mencari sifat-sifat yang dituntut pada kedua-dua pasangan ialah seperti berikut:
1. Agama yang sahih dan akhlak yang mantap.
Lelaki yang bakal berkahwin mestilah beragama dan mempunyai akhlak yang baik. Begitu juga dengan calon isteri. Penguasaan agama yang baik akan menyebabkan masa depan keluarga akan lebih cerah dan teratur. Jika kita lihat pada hari ini, faktor utama keruntuhan rumah tangga adalah disebabkan kefahaman yang kurang terhadap agama. Sebagai contoh, suami yang panas baran, bakhil, malas berusaha mencari nafkah, tidak wujudkan biah solehah dalam rumah, anak terbiar tanpa ada didikan agama dan banyak lagi masalah sosial yang berlaku. Ini akan membawa kehancuran kepada rumah tangga jika tidak diteliti dengan sungguh-sungguh.
Nabi saw bersabda: Apabila orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di atas muka bumi. (Riwayat tirmizi).
Hadis ini telah membuktikan pada kita bahawa, apabila kita membelakangkan agama, pasti kerosakan akan berlaku. Saya kira, tidak perlu untuk saya jelaskan secara panjang lebar, kerana kita sudah maklum di media-media massa dan di dada-dada akhbar telah banyak memaparkan contoh-contoh keruntuhan rumah tangga dalam masyarakat.
Nabi saw bersabda lagi: Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara: Harta, keturunan, kecantikan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu memerlukannya.(Riwayat Bukhari dan Muslim).Kalimah (kamu memerlukannya) di dalam hadis di atas digunakan dengan maksud memberi galakan dan dorongan. kita sedia maklum bahawa, kita berkahwin adalah kerana ingin memenuhi sebahagian lagi agama. Sebagai contoh, apabila kita berkahwin, kita lebih bersemangat untuk solat malam, puasa sunat, solat-solat sunat, rezeki lebih berkat, pahala-pahala setiap ibadat akan berganda, hati menjadi tenang dan sebagainya.Maksud beragama dan berakhlak pula ialah taat, mengerjakan amal soleh, menjauhkan hal-hal yang haram serta menunaikan segala tanggungjawab rumah tangga. Hadis ini juga, tidaklah bererti seseorang perlu mengetepikan unsur-unsur keturunan dan kecantikan. Akan tetapi, orang yang beragama dan berakhlak adalah pilihan utama. Di masa yang sama jika kesemua sifat tadi wujud pada seorang wanita, itu adalah satu rahmat daripada Allah dan itulah yang terbaik, kerana kita tidak dapat menafikan fitrah yang ada pada manusia suka kepada perkara-perkara demikian.
2. Keturunan.
Maksud keturunan di sini ialah asal keturunan dan benih yang baik. Dalilnya ialah hadis sahih sebelum ini yang menceritakan bahawa perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Salah satu daripadanya ialah keturunan.Oleh itu, kita disunatkan memlih pasangan yang baik keturunannya. Ini dapat membantu membina kehidupan rumah tangga yang berkekalan. Sesorang yang lahir dari keturunan yang baik berkemungkinan besar mempunyai pergaulan yang baik sesama keluarga dan dapat melahirkan generasi yang berakhlak mulia (apabila dicintai, dia akan menghormati dan apabila dia marah, dia tidak akan berlaku zalim). Jika kita lihat seseorang yang membesar dari keluarga yang porak peranda, maka sedikit sebanyak akan mempengaruhi pembesaran anak-anak meraka. Sebagai contoh, jika ibu bapanya kerap bergaduh, berkemungkinan besar anaknya akan menjadi ganas dan panas baran.
3. Tidak berkahwin dengan Saudara Terdekat (Kaum Kerabat).
Imam Syafie menjelaskan, seseorang lelaki tidak digalakkan berkahwin dengan saudaranya yang terdekat.Az-Zanjani menjelaskan: Di antara tujuan perkahwinan ialah menghubungkan ikatan persaudaraan untuk saling tolong-menolong di antara satu sama lain.Diriwayatkan: Jangan berkahwin denagn saudara yang terdekat, kerana anak yang dilahirkan adalah kurang cergas.
Ini berlaku kerana syahwat terhadap kaum kerabat yang terdekat adalah lemah. Perkara ini, dinyatakan oleh Syarbini di dalam huraiannya terhadap matan Minhaj karangan Imam Nawawi Rahimahullah.Namun Ibnu Solah berkata, hadis ini tidak mempunyai sandaran yang muktamad. Hadis ini disebutkan oleh Ibnu Athir dalam kitabnya " Annihayah fi gharib al-hadis wal athar ".Walau bagaimanapun, perkahwinan seumpama ini tidaklah dicela, kerana nabi saw telah mengahwinkan fatimah dengan Ali bin Abi Talib r.a. Nabi saw melakukannya untuk menerangkan bahawa hukumnya adalah harus. Atau nabi saw melakukannya kerana hubungan di antara kedua-duanya tidaklah terlalu rapat kerana Fatimah adalah anak sepupu Ali. Secara umumnya, hubungan di antara keduanya agak jauh.
4. Sekufu.
Yang dimaksudkan dengan sekufu ialah persamaan di antara calon suami dan isteri dari beberapa sudut: i. Beragama dan baik akhlaknya. Maksudnya lelaki yang fasik tidak sekufu dengan perempuan yang solehah. Firman Allah swt: Adakah orang yang beriman sama seperti orang fasik? Mereka tidaklah sama. As-sajadah ayat 18. ii. Pekerjaan. Lelaki yang mempunyai kerja yang rendah seperti tukang sapu, tukang bekam dan penggembala kambing tentulah tidak setaraf dengan anak perempuan lelaki alim. Akan tetapi golongn agama setaraf dengan mana-mana pekerjaan. iii. Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh dalam perkahwinan. Contohnya lelaki yang gila dan berpenyakit kusta tidak setaraf dengan perempuan yang tidak mempunyai penyakit tersebut.
Sekufu adalah hak perempuan dan walinya. Walaupun ia bukan syarat sah perkahwinan, ia perlu ada untuk mengelakkan wanita dan wali menanggung malu. Ia juga sebagai satu jaminan untuk kekalnya kehidupan bersuami isteri, kerana cara hidup kedua-duanya hampir sama. Mereka tidak perlu lagi mengubah kebiasaan hidup mereka. Sebagai contoh, kalau berkahwin dengan lelaki fasik, maka sudah tentu kehidupan si perempuan yang solehah ini akan dizalimi.
5. Perawan (Masih Dara)
Perawan ialah perempuan yang masih belum berkahwin. Nabi saw menjelaskan kenapa perlu memilih anak dara. Sabda Nabi saw: "hendaklah kamu memilih perempuan yang masih anak dara, kerana mereka menuturkan kata-kata yang baik, mampu mempunyai anak-anak yang ramai dan lebih redha kepada kehidupan yang susah" (Riwayat ibnu majah)Jabir r.a. menceritakan: "Aku telah berkahwin dengan seorang wanita pada zaman nabi saw. Aku berjumpa dengan Nabi saw. Dan baginda bertanya: "Wahai jabir, adakah kamu telah berkahwin? "Jawabku: "ya." Nabi saw bertanya pula; "kamu berkahwin dengan anak dara atau janda? "Jawabku: "Dengan seorang janda."Nabi saw bertanya lagi: "kenapa tidak dengan anak dara, kamu boleh bergurau dan bermain dengannya?"Aku menjawab. "Wahai Rasulullah, aku mempunyai ramai adik-beradik perempuan. Aku takut ia akan merosakkan hubungan di antara aku dan mereka. 'Nabi berkata: "Ia terpulang kepada kamu. Sesungguhnya perempuan dikahwini kerana agama, harta benda dan kecantikannya. Hendaklah kamu memilih agamanya. Kamu memerlukannya". (Riwayat Bukhari).
6. Lebih baik perempuan itu lebih muda daripada suami.
Perempuan adalah sedia maklum terkenal dengan sifat manjanya. Apabila ia berkahwin, maka ia tidak lagi dapat bermanja dengan ayah serta ibunya. Jadi, suami yang matang akan menggantikan tugasan ayahnya sebelum ini menjaganya dan memanjakannya. Maka dengan secara tidak langsung, suami yang matang akan lebih dapat memberi perhatian, didikan, dan menjaganya dengan baik. Satu kajian telah dijalankan di Univeriti Sains Republib Of Yaman di Yaman. Kajian kenapa Allah meletakkan kuasa talak hanya pada suami, walhal Allah bersifat dengan maha Adil. Apabila diamati dan dikaji, rupanya manusia mempunyai dua belah otak, sebelah kanan memikirkan perkara yang baik dan sebelah lagi hanya memikirkan perkara yang negatif. Kajian menunjukkan bahawa, apabila isteri marah, maka otaknya akan berfungsi pada satu bahagian sahaja iaitu negatif, akan tetapi suami boleh berfikir menggunakan kedua-dua belak otak ketika marah. Maka isteri akan memikirkan benda yang negatif sahaja dan akan mengeluarkan percakapan apa sahaja ketika marah. Kita sedia maklum bahawa, lafaz talak tidak boleh dibuat main-main dan tidak boeh dipandang dengan sambil lewa. Hal ini juga telah dibuktikan pada zaman Khalifah Umar Al-khattab, semasa beliau dimarahi dengan isterinya, beliau hanya mendiamkan diri dan memahami situasi isterinya yang sedang marah.
Kesimpulan:
Memilih pasangan yang baik di dalam rumah tangga merupakan kemestian bagi calon suami atau isteri. Hanya rumah tangga yang dibina di atas acuan agama dengan mengikut prinsip-prinsipnya sahaja yang dapat melahirkan titip-titp kebahagiaan dan zuriat-zuriat yang soleh. Kalau kita mengamati apa yang berlaku dalam masyarakat sekarang ialah, ramai perempuan-perempuan melayu yang berkahwin dengan lelaki asing seperti lelaki Pakistan, bangla, atau india yang bekerja di malaysia, mereka menganggap bahawa mereka ini matang serta rajin bekerja walaupun agama mereka seperti celup-celup dalam air. Ini kerana fitrah perempuan perlukan pasangan yang boleh melindungi mereka dalam keadaan senang atau susah. Kalaulah, semua lelaki dapat memainkan peranan mereka sebagai seorang suami yang amanah dan isteri menjalankan tanggungjawab dengan taat, maka perkara ini tidak akan berlaku. Oleh itu, jalan penyelesaiannya sudah ada, iaitu hanya mengikut apa yang agama telah susunkan untuk kita sebagai hamba Allah swt.
0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):
Post a Comment