:: Mereka2 Yang CooL !!::

Tuesday, March 15, 2011

Orang ketiga......

Berdosa jalin hubungan dengan individu yang sudah berumah tangga, apatah lagi menyebabkan berlaku perceraian

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 mendapati antara punca utama perceraian hari ini ialah suami curang atau isteri enggan dimadukan membabitkan 12 peratus, selain sikap suami yang tidak bertanggungjawab dengan 11.5 peratus.

Hakikatnya, keruntuhan hidup pasangan suami isteri sehingga berlaku perceraian sering dikaitkan dengan kemunculan orang ketiga, sama ada campur tangan keluarga atau pasangan menjalin hubungan dengan individu lain.

Mengulas isu orang ketiga ini, pakar motivasi terkenal, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata, individu yang berniat untuk meruntuhkan rumah tangga orang lain adalah melakukan dosa, malah menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang juga haram hukumnya.

Ini termasuk mengirim khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) atau mengadakan pertemuan dengan seseorang yang sudah mendirikan rumah tangga.

“Menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang haram hukumnya kerana pujuk rayu dalam perhubungan itu punca kepada kejahatan sebab Allah sudah mengatakan jangan hampiri zina.

“Jika wanita mengetahui lelaki yang didampingi itu adalah suami orang, tetapi tetap meneruskan perhubungan berkenaan, ia membuktikan wanita terbabit memiliki iman yang lemah dan hati yang keras,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Wan Akashah berkata, berdasarkan pengalaman, punca utama kepada permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga biasanya disebabkan lelaki yang menjerumuskan diri mereka dalam hubungan terlarang seperti itu.

Katanya, kepercayaan isteri terhadap suami yang keluar rumah untuk mencari rezeki dikhianati apabila suami menggunakan kesempatan berada jauh daripada isteri untuk bersama wanita lain.

“Suami yang berlaku curang sebenarnya sudah melanggar amanah Allah kerana isteri adalah amanah yang diberi kepada mereka untuk dijaga sebaiknya.

“Malah, jika hati isteri disakiti, dikecewakan, dianiaya atau isteri berasa kecil hati sekalipun, itu adalah satu penganiayaan dilakukan suami yang termasuk dalam pengabaian nafkah batin,” katanya.

Katanya, isteri yang tidak mampu menangani masalah seumpama itu diharuskan untuk menuntut cerai daripada suami sama ada melalui cerai taklik, fasakh atau khuluk.

“Banyak kes membabitkan orang ketiga ini berlaku dan haram hukumnya jika orang ketiga ini merampas hak wanita lain dan memisahkan hubungan antara suami dan isteri serta ayah dan anak-anak.

“Sebenarnya, lagi terkenal seseorang individu itu, lagi besar ujian yang dihadapinya dan ianya perlu dilalui dengan penuh kesabaran.

“Untuk melepasi ujian yang mencabar hingga boleh menjejaskan nama baik, kita perlu menjaga hubungan dengan Allah dan kecuaian dalam hal penting itu menjadi punca berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Paling penting, katanya, pasangan yang berhadapan dengan masalah orang ketiga perlu bermuhasabah diri, mencari kesilapan dan memperbaikinya.

Selepas itu, perlu menjauhkan diri daripada orang ketiga ini dan tidak boleh menjadikannya sebagai kawan sekalipun kerana jika niat baik, ia tetap menimbulkan fitnah. Kena tutup buku dan jangan buka ruang langsung kepada orang ketiga ini,” katanya.

Penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, pula berkata Islam sudah menetapkan peraturan berhubung pergaulan antara lelaki dan wanita.

“Kita perlu tahu tanggungjawab dan pandai mengawal diri kerana jika dalam hati ada perasaan terhadap orang lain, ia sangat berbahaya.

“Bagi pasangan yang diganggu orang ketiga, mereka perlu berbincang untuk mengatasi masalah itu bagi mengelak perceraian dan untuk orang ketiga pula, dinasihatkan supaya tidak membina rumah tangga atas kehancuran hati wanita lain.

“Jika orang ketiga itu sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan, dia perlu memahami hati isteri pertama yang rela berkorban untuk menerima kehadirannya kerana ia bukan satu keputusan yang mudah,” katanya.

Hakikatnya, impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga mahu bahtera yang dilayari itu kekal sehingga ke akhir hayat, tetapi ada di antaranya yang rebah di pertengahan jalan. Cabaran kehidupan berumahtangga diumpamakan seperti membina rumah di tepian pantai, yang akan dipukul gelora tanpa mengira masa dan hanya mereka yang kental saja mampu mendepani cabaran itu.

Masalah rumah tangga perlu diselesaikan sendiri pasangan suami isteri tanpa membabitkan orang lain


JIKA menghadapi masalah rumah tangga, jangan sesekali mencari penyelesaian dengan bercerita kepada ‘orang ketiga’. Ini yang sering menjadi punca rumah tangga menuju kehancuran.

“Apabila pasangan suka bercerita kepada teman sepejabat atau orang lain, akan timbul masalah di kemudian hari dan boleh membawa bercerai-berai,” kata pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Nik Salida Suhaila Nik Salleh.

Beliau berkata, kehidupan hari ini menuntut keperluan material sehingga memaksa isteri bekerja atas dasar membantu mengurangkan beban suami.

Katanya, isteri harus berkongsi segala-galanya dengan suami kerana dalam menggalas tanggungjawab di rumah, kepercayaan dan perkongsian itu harus wujud antara pasangan.

“Sepatutnya, tiada rahsia di antara pasangan. Rasa percaya juga harus ditanam di jiwa masing-masing dengan penuh ikhlas.

“Justeru, apabila berlaku masalah, elak bercerita kepada orang ketiga kerana mungkin timbul simpati pihak ketiga yang akan mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku.

Ada kes yang berlaku, orang ketiga yang bersimpati menjalin hubungan sulit dengan pengadu sehingga mencetus masalah lebih rumit,” katanya.

Menurut beliau, Nabi Muhammad s.a.w pernah menghadapi cabaran getir ketika isterinya, Aisyah difitnah berlaku curang oleh golongan munafik sehingga Allah memberi keterangan terhadap peristiwa itu.

Begitu juga Rasulullah pernah menghadapi konflik apabila berlaku persengketaan dan cemburu antara isterinya namun ditangani dengan bijaksana.

Nik Suhaila berkata, cinta adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan ia ada dalam diri setiap insan.

Katanya, bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan.

Bagaimanapun, hakikat percintaan dalam rumah tangga ada kalanya tidak sama. Impian dibina untuk hidup bersama ada kalanya diuji dengan pelbagai cabaran yang menggugat kebahagiaan.

“Jika kita tanam sikap bahawa perkahwinan satu ibadat dan mendapat ganjaran pahala di akhirat, pasangan itu harus tahu batasannya.

“Justeru, dalam melayari kebahagiaan hidup berumah tangga, kebijaksanaan dalam pengurusan masa penting. Sesibuk mana isteri yang bekerja, mereka harus ada masa untuk rumah tangga.

“Tidak ada suami suka melihat rumah tangganya bersepah. Ini kerana mengemas rumah menjadi kewajipan seorang isteri,” katanya.

Nik Suhaila berkata, isteri tidak ‘wajib’ bekerja kerana tugas mereka lebih penting mengurus rumah tangga.

Menurutnya, dalam menjalani tuntutan rumah tangga, suami isteri perlu banyak menimba ilmu termasuk pengajian agama supaya masing-masing mendapat keberkatan.

“Kebijaksanaan pasangan meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai sunnah dan sirah Rasulullah pasti dapat dijadikan panduan menangani masalah rumah tangga.

“Jangan buka pekung dalam perkahwinan dengan mengaibkan pasangan atau membuka ruang untuk orang lain mengambil kesempatan,” katanya.

Ditanya sejauh mana usaha mengekalkan rumah tangga itu perlu, katanya setiap pasangan perlu membuat pilihan secara bijak.

“Pilihlah seseorang yang berilmu kerana ia menjamin kebahagiaan hidup.

“Selain bertolak ansur, pastikan pasangan anda ada agama untuk isteri bergantung harapan,” katanya.

Selain itu, Nik Salida turut menyarankan, pemilihan paras rupa juga penting selain nilai sekufu lain yang menjadi impian setiap wanita inginkan lelaki tampan manakala lelaki pula mahukan wanita cantik dan berketrampilan.
BACA JE? MEH LA KOMEN-MENGOMEN!

0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...