:: Mereka2 Yang CooL !!::

Monday, March 7, 2011

Keserasian merah, hitam dan putih


SETUJU andai dikatakan ketiga-tiga warna ini menjadi pilihan ramai pemilik dalam soal menata hias kediaman ketika ini?

Merah, hitam dan putih merupakan warna yang mudah dipadankan. Kombinasinya menarik, kontemporari, tidak ketinggalan zaman dan yang paling penting, ia serasi!

Seperti kediaman yang menghiasi ruangan Tata Hias minggu ini, ‘syurga’ milik jurusolek, Aida G - biar pun hanya apartmen sederhana luas namun sentuhan eksklusif pemiliknya terserlah tanpa perlu mengeluarkan modal yang tinggi.

Menurut jurusolek yang semakin meningkat nama itu, dia sekeluarga tinggal di rumah tersebut lebih setahun lalu.

Kediaman yang berusia lebih sepuluh tahun itu dibeli daripada pemilik lamanya dalam bentuk asal tanpa sebarang pengubahsuaian. Disebabkan tidak betah tinggal di dalam rumah yang tiada ‘nyawa,’ Aida dan suami mengambil keputusan untuk mengubahnya 100 peratus mengikut cita rasa sendiri.

“Saya suka menghias dan mahu ia kelihatan kemas sepanjang masa. Semua idea menghias kediaman ini saya dan suami yang tentukan,” katanya.

Aida bertuah kerana suaminya mahir dalam kerja-kerja pengubahsuaian dan pendawaian, membolehkan apa sahaja idea yang dia inginkan mampu terlaksana. Dengan itu, mereka berdua berjaya menghasilkan sebuah kediaman yang diingini tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.

Aida bijak menata hias kediaman dan menentukan pemilihan perabot sesuai bagi mendapatkan sebuah kediaman ideal.

Walaupun berkeluasan sederhana, pemilihan rona putih melatari ke semua dinding kediaman menjadikan ruang kelihatan lapang dan tidak sesak mata memandang.

Setiap penjuru diberi perincian bermula dari pintu masuk lagi. Pemilik memilih menggantungkan gambar kenangan perkahwinan dan juga hasil kerjanya yang tersiar di akhbar serta majalah.

Bagi memberi kesan kontra, sebuah sofa berbentuk L berwarna hitam dipilih menghiasi ruang tamu utama. Ia dihiasi bantal-bantal kecil dari rona hitam dan putih serta sebuah bantal panjang warna-warni.

Penggunaan TV plasma yang dilekapkan pada dinding menjimatkan ruang tamu kediaman yang bersaiz comel itu. Tidak dibiarkan kosong begitu saja, suami Aida mencipta beam di sekeliling TV untuk mewujudkan kesan bingkai dengan penurapan kemasan kasar seperti ombak. Juga dilengkapi lampu suram, menjadikan ruang ini cukup menarik dan mencipta fokus tersendiri.

Pemilihan langsir hitam putih samar turut membantu menjadikan ruang tersebut luas dan tenang.

Kontra tapi serasi

Sebuah rak berwarna hitam menghiasi dinding dihias bantal kecil juga dari warna yang sama berselang-seli dengan warna merah.

Juraian bebenang hitam-putih dipilih menjadi pembahagi antara ruang utama dan dapur. Idea bijak itu menjadikan ruang kelihatan luas, juga membolehkan tuan rumah berbual dengan tetamu yang duduk di ruang utama biar pun ketika dia sedang menyiapkan hidangan.

Keadaan dapur yang kemas walau berkeluasan kecil menyebabkan ruang tersebut sedap mata memandang. Pilihan kabinet dapur berwarna putih naik seri bila digandingkan dengan meja makan yang berwarna hitam. Setiap barang disusun rapi dalam balang-balang kecil yang comel.

Meja makan turut diberi perincian oleh Aida. Set pinggan mangkuk putih dipadankan dengan alas merah. Bingkai-bingkai comel melatari dinding berdekatan meja makan, memaparkan foto anak perempuan tunggal kesayangan yang bakal mencecah usia dua tahun.

Masuk ke kamar tidur, jelas cita rasa wanita itu kepada sesuatu yang ringkas dan tidak jemu dipandang. Pilihan cadar putih-krim dikemas rapi bersama susunan bantal kecil berwarna-warni. Empat bingkai hitam-merah menghiasi dinding utama tersusun rapi.

Ruang balkoni turut mendapat sentuhan tanpa dipinggirkan. Aida memilih menghiasinya dengan air terjun mini buatan sendiri yang mendamaikan. Beberapa buah sarang burung tempua digantung berdekatan air terjun menghasilkan pemandangan semula jadi. Pokok-pokok segar bersaiz comel turut menghiasi ruangan ini.

Secara keseluruhan, walaupun sederhana, kediaman ini mencipta kelas tersendiri. Aida dan suami berjaya membuktikan, dengan kemahuan dan sedikit kreativiti, mereka berjaya mendapat apa yang diingini.
____________________________
**Kaler Favourite aku nih! hehee....(^_^)

BACA JE? MEH LA KOMEN-MENGOMEN!

0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...