:: Mereka2 Yang CooL !!::

Tuesday, March 8, 2011

Bina mahligai bahagia

sumber:: UTusan 08/03/2011


SETIAP insan yang berumahtangga tentu akan mengimpikan sebuah mahligai yang indah dan membahagiakan. Banyak cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan keluarga yang dibina mampu mencapai kebahagiaan yang diidamkan.

Ini kerana, perkahwinan melibatkan pasangan yang berlainan jantina, akal, perasaan, dan emosi yang biasanya merumitkan perhubungan antara manusia khususnya suami dan isteri serta ahli keluarga.

Bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, pasangan harus mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental, dan emosi supaya masalah ini boleh diatasi.

Menurut Perunding Motivasi dan Keluarga terkenal Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, suami adalah pemimpin utama yang menentukan kerukunan dalam dalam rumah tangga.

"Si suami kena tahu peranan, tugas dan tanggungjawabnya. Si isteri juga begitu, ada peranan dan tanggungjawabnya pada suami.

"Masing-masing kena tunaikan hak kepada pasangan masing-masing," ujarnya.

Pendek kata, kedua-dua belah pihak kena saling faham memahami, saling bertolak- ansur dan saling bantu- membantu antara satu sama lain.

"Oleh itu, kerjasama antara suami isteri dalam pembentukan institusi kekeluargaan yang harmoni perlu dititikberatkan dengan ini mampu mewujudkan suasana yang positif, harmonis dan bahagia,'' ujarnya pada Diskusi Keluarga: Bagaikan Cinta Khadijah di hati Rasulullah SAW, di Putrajaya, baru-baru ini.

Cinta sebenarnya pengikat dalam keutuhan kehidupan rumah tangga. Apabila rasa cinta suami kepada isteri atau sebaliknya telah hilang dari hati, maka kehancuran rumah tangga amat sukar untuk dihindari.

"Oleh kerana itu, suasana cinta-mencintai mesti saling dipupuk sepanjang masa dan tidak hanya pada masa-masa awal kehidupan rumah tangga," katanya.

Kata beliau, berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana penumpangnya ingin menikmati pelayaran itu, dan belum ada sebarang kesulitan, tetapi ketika kapal itu telah sampai di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang menerpa.

"Begitu jua dalam situasi berumah tangga, biar apa pun masalah hadapi dengan tenang kerana dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai kehidupan rumah tangga.

"Jadikan pasangan sebagai kawan baik kepada kita, kongsilah apa jua masalah kita dengannya," ujarnya lagi.

Keadaan ini, tegasnya mampu mengelakkan kita daripada menumpahkan kasih sayang kepada orang luar.

Sebagai suami yang soleh dan ketua dalam keluarga tunjukkanlah sifat yang mulia kepada isteri dan anak-anak.

Malah sentiasalah menunjukkan wajah yang ceria kepada ketika dirumah. Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri.

Biarpun ketika dilanda masalah, tenanglah hadapinya, bak kata pepatah bumi mana tidak ditimpa hujan inikan pula berumah tangga.

"Sekiranya tidak berpuas hati dengan perlakuan isteri, berbincanglah dengan tenang elakkan memarahi isteri di hadapan anak-anak.

"Luahkan kekurangan isteri tetapi jangan lupa puji kembali kebaikan yang pernah isteri lakukan kepada kita," ujarnya lagi.

Satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian suami ialah suami hendaklah menjaga penampilan dirinya, di samping mempamerkan wajah yang ceria.

Malah, menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih.

"Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri.

"Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya,''ujarnya tegas.

Dalam menguruskan rumahtangga, tidak salah sama-sama membantu demi keharmonian.

"Sebagai suami bantulah isteri dalam urusan rumah tangga, tidak salah kalau si suami membantu isteri menjemur pakaian,''ujarnya tenang.

Malah akuinya, Rasulullah sendiri pernah membantu isteri-isteri ketika dalam urusan keluarga.

Sebenarnya, pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa cinta.

"Oleh itu, kita harus saling cinta-mencintai antara pasangan dengan memberikan penghargaan yang sewajarnya.

Dalam mengharungi rumah tangga, pasti ada kekurangan bukan saja kekurangan dari segi fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka.

"Oleh itu, usahlah bercerita kelemahan pasangan kita walaupun kepada orang tuanya sendiri dan anggaplah kelemahan pasangan kita sebagai lumrah dalam kehidupan. Mana mungkin manusia dilahirkan sempurna di dunia ini
,"ujarnya lagi.
BACA JE? MEH LA KOMEN-MENGOMEN!

0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...