masa tengah online tiba2 terbuka berita harian online..tiba2 ternampak gambar "kawan lama" aku kat situ..kawan masa form 1 & form 2 - masa skolah Kat SMK KOTA BHARU
dah lama tak jumpa..tak sangka kawan aku masuk paper..
actually ni paper bulan 4....baru hari ni aku teringat nk post...huhu
sori...(^_^)
______________________________
Destinasi Munzir
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
2011/04/16
LIMA tahun menuntut di negara matahari terbit, anak Malaysia berusia 26 tahun ini akhirnya diterima bekerja di salah sebuah syarikat kejuruteraan terbaik di dunia yang berpangkalan di Komatsu, Jepun.
Ikuti pengalaman berharga Che Ahmad Munzir Mohammad berkelana di rantauan serta detik cemas ditempuhinya ketika gempa bumi dan tsunami melanda Jepun, bulan lalu.
PERKENALAN dengan Che Ahmad Munzir berlaku secara kebetulan ketika penulis diundang membuat liputan Pertandingan Gatsby Styling Dance di Tokyo, Februari lalu. Di sebalik rasa kagum dengan pembangunan pesat kota metropolitan Tokyo, hati lebih bangga apabila anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mampu mengharungi kehidupan di kota raya ini bersama jutaan warga Jepun.
Bukan saja Che Ahmad Munzir berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Jepun, malah, pada usia 26 tahun beliau diterima bekerja di salah sebuah syarikat kejuruteraan terbaik Jepun.
Mahu menyahut cabaran diri, anak muda ini tidak menyangka hasrat yang pada mulanya sekadar ‘mencuba nasib’, menjadi realiti apabila diterima bekerja sebagai jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Komatsu Ltd, Jepun.
“Saya bagai tidak percaya diberitahu diterima bekerja. Melihat kepada jawatan itu dengan pemohon lain yang rata-ratanya warga Jepun, saya cukup terkejut kerana memikirkan siapalah diri ini sebagai orang luar.
“Tetapi, saya bersyukur kepada Allah SWT dan percaya dengan rezeki yang dikurniakan. Saya melihat dari sudut positif dan mungkin pemilihan saya ada sebab dengan faktor dasar luar Jepun yang mahu lebih berkembang,” katanya.
Sesuai usia mudanya, penampilan dan gelagat Che Ahmad Munzir yang sudah tiga kali menawan Gunung Fuji, persis remaja Jepun. Biarpun memegang jawatan tinggi serta tanggungjawab besar tergalas di bahunya, anak muda ini tetap mahu bergaya.
Lihatlah cara anak muda ini berpakaian, potongan rambut serta kegemarannya pada peralatan gajet, semua itu persis kecenderungan anak muda Jepun.
Seperkara lagu, Che Ahmad Munzir petah bertutur dalam bahasa ibunda Jepun.
“Sebelum mengikuti pengajian, setiap pelajar dikehendaki mempelajari bahasa ibunda Jepun di Malaysia selama dua tahun. Ia menjadi antara syarat wajib untuk melanjutkan pengajian di negara ini.
“Pada awalnya, memanglah sukar terutama lenggok perbualan tetapi semua itu dapat diatasi selepas menetap di Jepun,” katanya yang juga berbakat dalam bidang muzik malah menganggotai band, Gaigokujin Bando (bermaksud band orang asing).
Biarpun menetap di negara orang, Che Ahmad Munzir tidak pernah melupakan kampung halamannya.
“Tipulah jika saya tidak rindukan kampung halaman. Insya Allah, akhir bulan ini saya akan pulang bercuti di Malaysia. Saya merancang mengadakan kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan kerana terselamat daripada bencana gempa bumi dan tsunami baru-baru ini,” katanya.
Mari dekati anak muda ini dan kongsi detik cemas ketika bumi Jepun bergegar dalam fenomena alam mencemaskan pada tanggal 11 Mac lalu...
Bagaimana anda memilih bidang kejuruteraan yang akhirnya membawa anda menimba ilmu di Jepun?
Saya dibesarkan dalam sekolah di mana ayah dan emak saya adalah guru sekolah menengah yang mengajar kemahiran hidup. Ini secara tidak langsung membentuk personaliti saya.
Saya masih ingat lagi, alat mainan saya ialah tukul besi. Ayah sering mengajar saya mengetuk kepingan aluminium hingga apabila sudah besar, saya cipta pula barang mainan sendiri dari kotak kertas, kereta mainan kayu hinggalah wau bulan.
Saya datang di Jepun di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengikuti program pengajian kejuruteraan di National College of Technology Tokyo pada 2005. Kemudian, saya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di kolej yang sama atas pembiayaan sendiri.
Ini kerana kursus saya ketika itu masih tidak diiktiraf di Malaysia. Ketika itu, saya mengikuti pengajian kejuruteraan lanjutan dalam sistem mekanikal.
Bagaimana anda boleh terfikir untuk terus menetap di Jepun dan bekerja di negara ini?
Ketika baru tamat pengajian, saya sepatutnya kembali ke tanah air. Namun, memikirkan alang-alang sudah mahir berkomunikasi bahasa Jepun dan mahu mencabar diri sendiri, saya beranikan diri menghadiri temu duga dan tidak sangka pula akhirnya diterima.
Mengenangkan gaji yang ditawarkan jauh lebih tinggi serta pengalaman yang bakal saya peroleh di syarikat besar, sudah tentu saya menyahut cabaran menetap di negara orang.
Apakah sukar memperoleh pekerjaan di Jepun yang terkenal dengan standard atau piawaian tinggi?
Memang tidak dinafikan sukar. Sudah masuk tahun kedua saya berkhidmat di Komatsu Ltd sebagai juruteran penyelidikan dan pembangunan, pekerjaan ini sendiri bukan mudah.
Malah, ketika awal temu duga dulu, saya berdepan dengan tiga latihan peperiksaan seperti latihan personaliti sintetik yang saya tidak pasti apakah ia dipraktikkan di Malaysia atau tidak. Sesi temu duga diteruskan dengan pelbagai segmen dan akhirnya, saya diterima bekerja.
Melihatkan kerjanya yang mencabar, apa agaknya tarikan yang ada di Jepun sehingga anda membuat keputusan menetap di sini?
Saya memilih Jepun juga kerana sudah biasa dengan cara bekerja masyarakat di sini. Malah, ketika belajar dulu pun, saya selalu buat kerja secara sambilan untuk menampung perbelanjaan harian, membayar sewa rumah, bil elektrik dan lain-lain.
Daripada bekerja sebagai tukang cuci sekolah, syarikat pemindahan barang, pembantu di pejabat pos hinggalah bekerja di kedai kebab, semua itu memberi pengalaman berharga sehingga kita mengagumi gaya hidup orang Jepun yang bekerja keras.
Apa yang boleh anda hurai mengenai masyarakat Jepun dan cara pemikiran mereka?
Satu yang dapat saya simpulkan, orang Jepun cukup sistematik. Mereka bukan saja tertib dalam segala hal, malah sangat menekankan aspek menepati masa, tepati janji dan berdisiplin.
Tetapi, tidaklah sehingga semua orang Jepun begitu. Mereka ada juga kekurangannya. Apabila kita sudah berada dalam budaya kerja kuat, ia secara tidak langsung mengajar kita untuk memiliki semangat sama.
Anda tidak terfikir untuk kembali ke Malaysia dan bekerja di negara sendiri?
Ketika ini, saya tidaklah mahu mengambil risiko untuk kembali ke Malaysia. Kebetulan, kelulusan saya hanya baru-baru ini diterima di Malaysia. Sebenarnya, saya amat menyukai bidang kejuruteraan terutama dalam bidang kajian dan pembangunan (R&D) yang banyak membabitkan pelaburan besar syarikat.
Bagi saya, bidang kejuruteraan adalah dunia saya. Namun, jauh di sudut hati, saya mahu memberi sumbangan kepada bangsa dan negara dalam bentuk apa saja. Jika tidak pun, saya mahu memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia supaya tidak mudah mengalah dalam hidup.
Bagaimana anda menilai pembangunan dikecapi Jepun dari aspek R&D?
Menuntut dalam bidang kejuruteraan R&D, apa yang saya lihat, orang Jepun cukup teliti dalam soal ini. Disebabkan itulah, kita lihat barangan buatan Jepun berkualiti tinggi daripada kereta hinggalah peralatan elektronik.
Mereka melakukan kerja-kerja R&D dengan penuh kesabaran dan kesungguhan.
Boleh anda ceritakan apa agaknya cabaran yang anda hadapi hidup bersama masyarakat Jepun?
Jika soal cabaran, mungkin dari aspek masalah bahasa dan komunikasi. Ada orang beranggapan orang Jepun keras hati dan tidak suka berkawan. Tetapi berdasarkan pengalaman saya, jika kita kenal budaya dan hormati cara orang Jepun, mereka akan membantu kita dalam apa keadaan sekali pun.
Bagi orang Jepun, semua perkara dibuat secara ikhlas dari hati, bukan disebabkan wang. Saya juga hairan, walaupun dikatakan sebahagian daripada orang Jepun tidak menganut kepercayaan mana-mana agama, namun kesedaran sivik mereka lebih tinggi daripada apa yang kita sangkakan.
Selama beberapa tahun menetap di negara ini, terdedah dengan budayanya selain disokong komuniti termasuk rakan-rakan berbangsa Jepun, teman sepejabat serta ketua jabatan, semua ini banyak membantu saya mengharungi kehidupan di negara ini.
Apakah anda fikir Malaysia mampu menjadi seperti Jepun? Dari pemerhatian anda, apa sebenarnya menjadi kekuatan negara ini?
Secara jujur, saya fikir negara Jepun ini kosong, tiada sumber asli atau galian seperti di Malaysia. Tetapi, mereka berdaya maju dengan industri perkhidmatan dan kilang walaupun terpaksa mengimport bahan mentah.
Sedangkan, Malaysia kaya dengan pelbagai jenis sumber mentah seperti emas, bijih timah, balak, getah, arang batu dan sebagainya. Saya fikir untuk menjadi negara maju, kita perlu didik masyarakat mengenali dan memahami seni, barulah terbit rasa bangga selain nilai positif lain seperti bekerja bersungguh-sungguh.
Percayalah, Malaysia memiliki sumber dan kaya dengan seni, bagi saya, Malaysia boleh mencapai kemajuan lebih baik dari negara lain.
Tsunami 11 Mac sungguh dahsyat
GEMPA bumi kuat berukuran sembilan skala Richter pada 1.45 petang (jam 2.45 petang waktu Malaysia) pada 11 Mac lalu, memberi impak cukup besar bukan saja kepada rakyat Jepun, malah penduduk dunia.
Bagi Che Ahmad Munzir, detik mencemaskan itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Selama ini, warga Jepun sudah dilatih berdepan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan ribut taufan. Namun, apa yang berlaku pada hari itu menakutkan semua orang,” katanya yang berada di makmal syarikat ketika kejadian itu.
Menurut anak muda ini, suasana menjadi kelam kabut kerana bagi rakyat Jepun, gegaran sekuat itu tidak pernah dirasakan sejak sekian lama.
“Bayangkan, orang Jepun yang sudah biasa berdepan dengan bencana alam menjadi panik. Inikan pula saya yang baru tujuh tahun menetap di Jepun.
“Ketika kejadian, saya berada di makmal iaitu bilik kebal seluas 50 meter persegi dengan kedalaman 30 kaki,” katanya.
Che Ahmad Munzir berkata, beliau bertuah kerana ketika kejadian itu, seorang rakan sekerjanya pantas bertindak menutup suis dan membantunya keluar dari bilik kebal dengan selamat.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat selamat, barulah disedari besarnya impak gempa bumi itu melalui siaran berita telefon tablet miliknya. Babak mencemaskan itu tidak berakhir begitu saja, malah gegaran susulan terus berlaku dalam tempoh tiga jam.
“Saya rasa pening dan mabuk ketika itu. Lebih memburukkan keadaan, telefon tidak dapat digunakan kerana semua orang hendak berhubung pada masa sama.
“Saya juga masih ingat betapa gerunnya melihat paparan visual keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sendai yang berubah seolah-olah menjadi pelabuhan ketika kejadian itu,” katanya.
Ketika, XY - Ikon Lelaki menghubungi Che Ahmad Munzir pada malam Isnin lalu untuk mendapatkan perkembangan terbarunya, beliau menjelaskan, tidak kurang empat gegaran kecil direkodkan di Fukushima pada hari itu.
“Namun, keadaan sudah banyak berubah selain bekalan makanan dan minuman yang kembali terkawal. Banyak kutipan bagi membantu mangsa gempa bumi diperoleh dan di televisyen, hampir tiada berita yang menyentuh soal bencana melainkan kata-kata perangsang,” katanya yang kagum dengan semangat dan kekuatan rakyat Jepun bangkit menempuhi dugaan selepas malapetaka itu.
Profil: Che Ahmad Munzir Mohammad
Umur: 26 tahun
tarikh lahir:4 mac 1985
tempat lahir: kota bharu,kelantan
tinggi:165cm berat:57 kilogram
status:bujang
GAMBAR form 2...
2K1. SMK Kota Bharu,Kelantan. [Tahun 1999]
yg aku tanda Bulat tu lah Munzir..(^_^)
0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):
Post a Comment