sumber: Blog-Kehidupan
Lebih setahun yang lalu, seorang teman berkongsi cabarannya dalam menghadapi proses bernikah. Hatinya berbolak balik, mahu menerima calon lelaki itu sebagai suami, atau tidak..? Beberapa perkara menjadi pertimbangannya. Namun dia tidak mampu membuat keputusan, kerana ramai orang yang menentang jika dia meneruskan berkahwin dengan lelaki itu. Sedangkan sebelah hatinya mampu menerima si calon menjadi suami.
Dia melarikan diri merentas lautan ke tempat yang jauh, namun sejauh mana pun pergi, hati makin kucar kacir jika tiada keputusan. Saya termasuk dalam kelompok kecil yang menyokongnya bernikah dengan lelaki tersebut. Saya berkongsi sisi positif apa yang mungkin terjadi seandainya dia bernikah dengan lelaki itu, sewaktu banyak orang membuka aib dan keburukan lelaki tersebut. Alhamdulillah mereka bernikah. Ternyata, usaha yang tak putus asa dan SANGKA BAIK pada ALLAH tak pernah mengecewakan. Banyak perubahan yang baik pada mereka setelah bernikah.
Kes seterusnya, seorang teman dilamar menjadi isteri kedua, dan sebaik orang lain mengetahui hal ini, kebanyakan mereka berkongsi sisi negatif tentang calon lelaki. Ya, dari satu segi ia memang bagus, perkongsian itu untuk memberi peringatan pada si perempuan agar mengetahui keburukan lelaki sebelum mengambil keputusan untuk bernikah.
Namun segala sangkaan dan berita buruk itu berjalan laju tanpa si calon lelaki diberi dan memberi penjelasan. Hingga 90% si perempuan mengkhabarkan pada saya yang ia akan menolak lamaran. Namun saya berusaha memasukkan diri ke kelompok yang mencari sisi positif, saya mencari ruang dan kesempatan agar si lelaki dapat membela diri atas segala perkhabaran negatif. Saya mencari ruang untuk saya menyokong si perempuan menerima lamaran, dan alhamdulillah mereka bahagia dengan pernikahan mereka saat ini.. [sekurang-kurangnya buat waktu ini].
Bukan bermaksud menyatakan seolah-olah orang lain selalu negatif, hanya saya yang sering positif.Bukan. ?
Kerana sebenarnya, perkongsian saya ini khas buat teman perempuan yang saya kasihi, yang dihadapkan lamaran untuk menjadi isteri kedua, dengan seribu satu ujiannya. Yang saya cuba sampaikan ialah, FIKIRLAH POSITIF, BERTINDAKLAH SECARA POSITIF.
Larut dalam rasa dan cara yang negatif berlama-lama tidak membawa ke mana, hanya merosakkan jiwa dan membuang masa.
Kita terima atau tolak, teruskan atau putuskan, nilailah kekuatan kita.
Dan kekuatan kita berhubung dangan ALLAH.
Kita yang tentukan, orang lain boleh bercakap dan memberi pandangan.
Namun kita kelak yang menghadapi kesannya.Kita yang akan bertanggungjawab, kerana selepas kita kahwin, biasanya orang-orang yang menentang akan terdiam kalau kita bahagia, dan mereka yang negatif akan menunggu kejatuhan rumahtangga kita, untuk terus menempelak keputusan kita bernikah suatu ketika dulu.
Membuat pilihan tentang jodoh, sungguh, bukanlah satu keputusan yang mudah. Apatah lagi jika sebelumnya telah beberapa kali menghadapi cabaran dan kegagalan urusan ke arah pernikahan yang terhenti di tengah jalan.
Namun segala ujian kesulitan dan keburukan yang mengekori proses ingin menghalalkan hubungan, tidak semestinya bermaksud ALLAH tidak meredhai hubungan halal yang ingin dijalinkan. Tidak semestinya. Apatah lagi insan kerdil seperti kita yang selamanya tidak mampu membaca rahsia dan ilmu ALLAH – apakah ALLAH benar-benar redha atau tidak dengan sesuatu perkara.
Apa yang perlu kita lakukan..? Dalam soal jodoh, kita sebagai manusia pertama, perlu mencari yang soleh solehah, [atau meletakkan diri dalam kumpulan mereka yang dicari, maksudnya menjadi soleh dan solehah].
Kedua, fikirkan, ambil masa mengenali latarbelakang dan bincangkanlah tentang calon dengan orang-orang yang amanah dan berilmu. Mohonlah ilham dari ALLAH, mohonlah nasihat dari mereka yang matang dan berhikmah.
Ketiga, buatlah keputusan untuk bernikah DENGAN HATI YANG MANTAP.
Hati yang mantap ini, pada saya, ialah KESEDIAAN KITA untuk benar-benar menerima pilihan kita SEMAMPUNYA. Ya, KESEDIAAN KITA, bukan kesediaan orang lain menerima pilihan kita. Kita akan serabut kalau mengharapkan semua pihak redha dan merestui pilihan kita.
Begitu juga, kalau kita dah menolak calon suami/isteri, kita akan serabut dengan cakap-cakap orang yang ’kenapa awak tolak dia..dia kan baik bla...bla...bla.. tak pandai menilai gading bla..bla...’ sedangkan kita membuat keputusan menerima atau menolak dari persepsi kita, orang yang akan menikah dengannya.
”Habis tu kenapa bincang dengan aku, minta pandangan dan nasihat aku, kalau kau nak buat keputusan sendiri..?” ujar orang yang diminta pandangan, walhal dia sedar dia sekadar sekadar memberi pandangan dari persepsi dia.
PANDANGAN, BUKAN ARAHAN.
HATI YANG MANTAP, juga bermaksud, setelah kita berfikir, berusaha mengenali latarbelakang calon suami/isteri, kita musyawarahkan dengan mereka yang berilmu dan berpengalaman, hati kita mantap meletakkan pergantungan pada ALLAH bahawa kita memilih calon ini dengan redha dan tawakkal pada perlindungan dan bimbingan ALLAH.
Siapa yang tak takut menikah dalam keadaan yang ditentang dan tidak disukai lagi tidak direstui...?
Tapi ketakutan itu boleh pergi seandainya kita positif, sabar, bersangka baik dan tulus berdoa pada ALLAH.
Dan tidak boleh dilupa ialah, apakah strategi kita untuk menyesuaikan diri dengan pasangan selepas bernikah, atau apakah perancangan dan visi kita dengan pernikahan..?
Atau kita berkahwin DALAM KEADAAN TAK SEDAR, ’kahwin je lah,...malas nak fikir jauh-jauh’...
Seandainya bernikah dengan perasaan pesimis begini, insyaALLAH rumahtangga kita kelak menambah statistik perceraian, menambah bilangan perkahwinan yang berkecai di usia awal pernikahan, menambah bilangan mereka yang menyesali perkahwinan dan menambah bilangan mereka yang melihat perkahwinan tidak lebih dari sebuah seksaaan dan penderitaan.
Kahwinlah dengan PENUH SEDAR dan TANGGUNGJAWAB...
“This is my marriage, I’ll put in hard effort to strengthen my marriage. It is my job, not other’s.”
Kahwinlah dengan niat benar-benar ingin menuju redha ALLAH, benar-benar ingin menjadi isteri yang ALLAH redha, walau macamana sekalipun ujian dan kesulitan yang ALLAH bagi melalui kehadiran teman bernama suami. Kahwinlah dengan ilmu yang sentiasa didalami, bagaimana menjadi isteri yang bermotivasi dan MEMOTIVASI, bagaimana menjadi isteri yang mampu SABAR dan tabah dalam dunia yang meragut kesabaran dan kelembuan hati ramai orang pada hari ini..
Jalan pernikahan yang dipilih sebenarnya tidak pernah salah.
Namun seringkali kita salah bilamana kita membiarkan penilaian orang lain menutupi kesucian niat kita menjadi teman hidup yang halal.
Penilaian orang lain yang streotaip dan negatif seringkali menutup usaha dan perancangan positif kita untuk melakukan perubahan dan peningkatan dalam hidup.
Ataupun kita sebenarnya yang terlalu negatif, hingga melihat bayang-bayang buruk lagi menyesakkan di setiap sudut keputusan.? Hingga kita tak mampu membuat keputusan ingin menerima lamaran atau menolak. Ingin meneruskan pertunangan atau memutuskan.
Percayalah, sikap dan persepsi yang negatif akan menyukarkan sesiapupun, akan menekan jiwa dan perasaan sesiapapun, samaada berkahwin atau tidak. Samaada sebelum dan selepas pernikahan. Hidup ini, pernikahan yang dibina ini, akan hidup dan tumbuh dengan cara apa kita melihat, dengan cara apa kita bersikap.
Ya, DIRI KITA. Tidak sesekali SIKAP DAN PERSEPSI ORANG LAIN yang menjayakan atau menggagalkan usaha kita dan rumahtangga kita...
nota kaki: betoi2 kena batang Hidung......
0 Yang mendoakan Cik Marjan Kurus..(^_^):
Post a Comment